Assalamualaikum

Sebagai seorang isteri, ibu dan juga seorang anak, di dalam melaksanakan sesuatu perkara,  terkadang aku keliru. Mana yang harus aku utamakan? Aku lantas mengambil terjemahan al-Quran yang biasa menjadi rujukanku. Kalam Allah itu sentiasa menjadi pedoman dan kata-kata semangat buatku.

 Aku membuka al-Quran lalu membaca terjemahan ayat muka surat 857 – 858 (Al-Quran Amazing 33 Panduan Al-Quran untuk Hidup Anda). Tatkala membaca huraian Asmaul Husna Yang Maha Menjaga, air mata ini tidak henti mengalir.

Berikut adalah petikan Asmaul Husna Yang Maha Menjaga [Rujukan: Al-Quran Al-Karim amazing 33 Panduan Al-Quran untuk Hidup Anda] muka surat 858:

Kadang-kadang nama ini dibayangi dengan yang Maha Tinggi, yang melampaui kesempurnaan di atas kesempurnaan.

            Allah SWT mempunyai nama al-Hafiz (Yang Maha Menjaga) ertinya adalah Yang Maha Mengetahui, Maha Memperhatikan, dan Maha Dekat dengan makhluk-Nya. Tidak ada yang tertinggal walau sebesar biji sekalipun dalam kerajaan-Nya. Dia Yang Maha Menjaga amalan tiap-tiap manusia dan jin, dan para malaikat pencatat mendapat kehormatan untuk menjaganya. Dia-lah Yang Maha Menjaga, ertinya menjaga pendengaran, penglihatan, dan kulit segenap makhluk, untuk menjadi saksi ke atas mereka sendiri pada hari kiamat nanti. Dia-lah yang Maha Menjaga daripada tiap-tiap keburukan, kejahatan dan bencana terhadap orang yang dikehendaki-Nya.

            Dia-lah Yang Maha Menjaga keimanan bagi hamba-Nya yang berhak, memelihara mereka daripada keburukan hawa nafsu dan syubhat-syubhat syaitan, yang menghalangi antara seseorang dengan hatinya agar tidak terjerumus ke dalam jurang kemaksiatan, kemudian mempersiapkan segala sebab dan akibat yang sesuai dengan ketaatan dan keimanan. Dia-lah Yang Maha Menjaga segenap makhluk-Nya, menetapkan mereka untuk satu tujuan, kemudian mengatur keterkaitan antara sebab dan akibatnya.

            Seorang muslim yang mengesakan Allah dengan nama ini, hendaklah yakin bahawa Allah Maha Berkuasa untuk menjaganya dengan dua hal, iaitu Kauny (takdir yang tidak ada kuasa bagi manusia untuk ikut campur) dan yang kedua-dua adalah Diny, Syari, di situ manusia ada kemampuan untuk berusaha. Manusia sentiasa diuji dengan kedua-dua hal ini. Sikap manusia selalu ada di antara dua hal ini. Ertinya, dalam hal yang pertama, ia harus percaya terhadap takdir Allah dan kekuasaan-Nya yang meliputi segalanya (sebelum makhluk itu sendiri diciptakan) kemudian Allah menentukan apa yang akan berlaku setelah kematiannya.

            Tidak ada kehendak seorang hamba melainkan dengan taufik dan kehendak Allah. Yang kedua, ertinya seorang hamba dijaga oleh syariat dan pengurusan Allah, dengan satu keyakinan bahawa hal itu adalah satu-satunya jalan untuk menggapai kebahagian dunia dan akhirat. Pendek kata, siapa yang menjaga syariat-Nya, maka Allah akan menjaganya dalam hal Kauny, Allah akan menjaganya dalam keadaan bergerak mahupun diam. Anda akan mendapatkan orang yang mengesakan Allah akan sentiasa tegak, berterusan dalam ketaatan, menjaga hukum-hukum ibadat, tidak akan menyia-nyiakan kewajipan, tidak pula amalan sunnah, dan tidak akan pernah mendekati kejahatan, tidak pula akan melampaui batasan-batasan-Nya. Dia hanya akan menjaga petunjuk Rasulullah SAW, dengan segala kecintaan, semangat, dan ketulusan niat. (Dr. Mahmud Abdurrazak Ar-Ridwani, Ad-Duau bi’l Asmai’l Husna, 2005: 73)