Hanya kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku

Tiba2 hati saya (naluri seorang ibu) bersimpati dengan ujian yang menimpa seorang anak rakan sekolah anak saya. Saya bagai memahami kerisauan hati sebagai seorang ibu. Saya ingin sekali memberi kata-kata nasihat buatnya.

Saya kemudian terus solat taubat. Mohon ampun pada Allah dengan linangan air mata kerana menyedari kita hambanya yang tak lari dari melakukan kesilapan.

Air mata mula berderai kerana menyedari segala penyakit adalah dari Allah, dan kepada Allah lah tempat mengadu kerana Allah lah jua yang Maha menyembuhkan. Lalu saya membuka Al Quran membaca tafsiran ayat.

Menghayati kalam Allah yang menjadi penenang jiwa di saat diri di uji Allah.
Lalu saya tergerak membaca surah Yusuf muka surat 487 (Tafsir Al Quran terbitan Karya Bestari). Saya menghayati makna kalam-kalam Allah. Surah Yusuf ayat 83, 84, 85, 86 membuatkan air mata saya deras mengalir.

Kisah tentang Nabi Yaakub yang susah hati dengan kehilangan anaknya Yusuf (pengajaran ayat : ujian anak buat kita sebagai ibubapa).
Allah menceritakan tentang Nabi Yaakub terus bersabar di atas ujian Allah itu dengan mengadu pada Allah.

Dalam ayat 84 Nabi Yaakub berkata, “Aduhai sedihnya aku mengenang Yusuf,” sehinggakan mata Nabi Yaakub buta kerana sedih. Saya turut mengalirkan air mata sebak membaca kisah yang Allah paparkan ini seakan Allah mendengar keluhan saya. Allah bagai tahu saya ingin sekali memberi kata-kata semangat buat Puan Hamiza.

Kemudian dalam ayat 86 Nabi Yaakub berkata lagi, “Hanya kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku.”
Sekali lagi air mata saya jatuh lagi menghayati luahan rasa Nabi Yaakub ini. Sungguh Allah mengetahui segala hikmah dan pasti ada kebaikan di sebalik ujian Allah ini.

Kemudian saya menasihati ibunya agar teruskan berdoa dan mengadu bersungguh-sungguh pada Allah . Kesungguhan berdoa itu terbit bila air mata mula mengalir tanda kita hanya mengharapkan pertolongan Allah dan menyedari Allah lah yang menyembuhkan di atas asbab kita berusaha berubat ke hospital.

Teruskan solat dan berdoa. Sentiasa bacakan Al Quran berserta tafsir ayat (menghayati apa yang Allah sampaikan melalui Kalam Nya). Allah ada berfirman di dalam Al Quran dengan mengatakan AL QURAN ADALAH PENAWAR BAGI ORANG BERIMAN.

Mudah-mudahan dia lebih tenang mengharunginya. Ujian yang Allah beri membuatkan kita ingin lebih dekat kepada Yang Maha Esa. Kerana saya sendiri mengalaminya.

Satu ketika dahulu anak sulung saya ketika anak itu belum pun mencecah umur 1 tahun sering terkena bisul besar di bahagian kepala dan tangan. Bisul yang tak ada mata, membuatkan Doktor terpaksa melalukan minor operation, terpaksa lah anak saya berpuasa beberapa jam sebab nak kena operate untuk membuang nanah dan darah. Apa lagi keadaan bayi bila di suruh berpuasa meragamlah dia tak dapat minum susu.

Waktu tu saya hanya memujuk bayi, “Sabar lutfi, Allah sayang sebab tu Allah beri ujian”. Berulang alik pergi dan keluar hospital entah berapa kali.
Alhamdulillah akhirnya saya mendapat nasihat untuk membaca Al Quran. Saya ada bagi air zam-zam sebagai usaha penyembuhan.

Alhamdulillah dengan izin Allah anak saya tidak lagi dijangkiti bisul. Sekarang bayi sudah besar berumur 8 tahun dan sihat . Saya mula mencintai dan mendekati Al Quran dengan membacanya berserta makna nya setiap hari. Itulah penenang jiwa saya sehingga kini..
Alhamdulillah.. Al Quran itu mukjizat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *