“Mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku?”

Ternampak motorsikal suami sewaktu menyidai pakaian petang tadi. Teringat satu waktu dulu suami sering keletihan menaiki motor hari-hari pergi balik kerja. Kini motor itu tersadai tanpa penunggang.

Aku rindu melihat suami menunggang motorsikal ini. Setiap kali motor berbunyi di waktu petang, menandakan dia telah pulang. Hatiku berbunga riang.

Namun suami kini bekerja di luar kawasan. Tiada lagi kedengaran bunyi motor. Terasa sepi hidup tanpa melihat kelibatnya. Entah kenapa hari ini terasa rindu begitu mendalam.

“Seronoknya andai suami dapat pulang”, kata hati kecilku.

Aku mengadu pada Allah Yang Maha Mendengar. Tanganku pantas mengambil terjemahan al-Quran amazing terbitan Karya Bestari. Membaca terjemahan ayat pada muka surat 497-498.

Tatkala membaca surah al-Ra’d ayat 10 yang bermaksud;
“Sama sahaja (bagi Allah), sesiapa di antaramu yang merahsiakan ucapannya dan sesiapa yang berterus terang dengannya; dan sesiapa yang bersembunyi pada malam hari dan yang berjalan pada siang hari.’

Aku terus menangis menghayati Kalam Allah.. Sungguh Allah tahu apa yang tersingkap dikalbu.

Aku merasa rindu yang teramat pada suami. Begitu juga anak-anak. Namun aku tidak sampai hati menyuruh suami pulang walau seketika. Banyak yang suami perlu korbankan andai dia terpaksa pulang..

Kalau benar mencintai suami kerana Allah, pasti sedar bahawa makhluk ciptaan Allah adalah milik Allah sepenuhnya. Bersedia kehilangan suami. Lagipun dia pergi demi mencari rezeki.

Lebih baik aku memendam rasa. Cukup sahaja Allah yang tahu perasaan diriku pada ketika itu..

Pada muka surat 498, terdapat huraian tentang Asma’ul Husna [Yang Maha Tinggi]. Dia Maha Meliputi segala sesuatu dengan ilmu-Nya. Dia Maha Menaklukkan segala sesuatu dengan mudah. Segala sesuatu menjadi tunduk, tiap-tiap hamba menjadi mendekat, baik kerana taat atau tidak. Segala sesuatu berada dalam penaklukan, kekuasaan, dan keagungan-Nya. Dia Yang Maha Tinggi, tidak akan ada yang mampu menghalang kehendak-Nya.

Air mata bercucuran mengamati penjelasan tersebut. Di atas kehendak Allah, Dia uji dengan memisahkan aku dengan suami dalam tempoh yang aku sendiri tidak pasti. Berat rasanya menguruskan anak-anak yang 4 orang tanpa suami.

Namun aku terus berdoa agar Allah melapang dada di atas segala ketentuan-Nya. Tidak akan ada yang mampu menghalang kehendak-Nya. Dia Maha Menaklukkan segala sesuatu dengan mudah. Aku menangis lagi, semoga Allah menakluki hatiku agar menjadi isteri yang taat pada suami.

Kemudian aku membaca pula HR Muslim pada muka surat yang sama di bawah tajuk [Riyadus Salihin]

Daripada Abu Hurairah, dia berkata, Rasulullah SAW, bersabda, “Sesungguhnya Allah SWT berfirman pada hari kiamat kelak, ‘Mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Hari ini Ku naungi mereka, yang tidak ada naungan pada hari ini selain daripada naungan-Ku” [Hadis Riwayat Muslim]

Malam itu aku tidak pernah menyangka yang aku boleh termimpi suami. Mimpi yang indah bersama suami. Masya-Allah 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *